Tuesday, 14 March 2017

2.0          Interaksi Positif Antara Tamadun Melayu, Cina, dan India
I       
         2.1   Interaksi Positif Antara Tamadun Melayu dan Cina

Dengan kedatangan tamadun Cina ke Tanah Melayu, banyak interaksi yang berlaku dan diserap masuk ke dalam tamadun Melayu. Kesan yang paling besar dapat dilihat adalah penyebaran agama Islam yang dibawa oleh pedagang daripada Hainan dan Canton pada kurun kesembilan melalui bukti batu bersurat yang dijumpai di Kuala Berang,Terengganu (Rasid Muhamad, 2011) (rujuk lampiran 1). Di Malaysia juga wujudnya warisan Cina peranakan yang digelar sebagai Baba dan Nyonya di Melaka yang mengamalkan cara hidup, berpakaian dan bahasa Melayu persis orang Melayu.

Selain itu, banyak kesenian budaya dan adat resam orang Melayu yang dipengaruhi oleh adat resam orang Cina. Contohnya budaya memberi duit raya semasa hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha yang diambil daripada konsep pemberian ang pau oleh orang cina semasa Tahun Baru Cina. Budaya menghidangkan tetamu dengan air teh yang biasanya diamalkan oleh orang Melayu juga diambil daripada adat orang Cina iaitu adat minum teh. Di samping itu, kesenian daripada negara China juga dapat dilihat pada binaan masjid di Malaysia seperti Masjid Kampung Hulu, Melaka (rujuk lampiran 2). Kesenian juga dapat dilihat daripada tarian singa dan alat muzik seperti seruling yang digunakan secara meluas di Malaysia dalam acara hiburan.

Seterusnya, perkataan dalam bahasa Cina juga banyak dipinjamkan ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan kapur, intan, dan kurma (Melayu Online, 2007). Makanan di Malaysia juga banyak yang diambil daripada negara China dan dimasak secara halal seperti soya, taugeh, kicap, kuetiau, pau dan sebagainya. Dalam bidang kesihatan, penggunaan herba dan akupuntur telah pun digunakan secara meluas oleh orang Melayu untuk menjaga dan merawat kesihatan.






2.2  Interaksi Positif Antara Tamadun Melayu dan India

Pelbagai interaksi positif yang dapat dikesan dengan kedatangan Tamadun India ke Tanah Melayu pada zaman dahulu. Pedagang dari India yang datang ke Tanah Melayu telah membawa agama Hindu dan Buddha dan telah menjadi pegangan bagi sebahagian penduduk di Tanah Melayu pada masa itu.  Ajaran ini diterima oleh pemerintah kerana agama ini berpegang teguh kepada konsep Dewaraja yaitu raja adalah tuhan dibumi yang sekaligus memperkukuhkan kedudukan raja sebagai pemerintah. Sebagai contoh, terdapat dua buah kerajaan Hindu di Tanah Melayu yaitu kerajaan Langkasuka dan kerajaan Kedah Tua (rujuk lampiran 3). Disamping itu terdapatnya penyembahan Dewa Siva dan Vishnu, yang dapat dilihat daripada pembinaan Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Bukit Pendiat di Lembah Bujang, Kedah (rujuk lampiran 4).

Dalam budaya dan adat resam orang Melayu juga banyak dipengaruhi oleh tamadun India. Contohnya, dalam adat istiadat perkahwinan seperti bersanding, memakai inai, dan amalan merenjis. Orang Melayu juga mengamalkan adat menyambut kelahiran bayi tetapi telah disesuaikan mengikut ajaran Islam iaitu majlis cukur jambul. Di samping itu, pengaruh India dalam hiburan dapat dilihat melalui tarian dan muzik yang masih wujud dalam masyarakat Melayu iaitu ronggeng, boria, wayang kulit dan mak yong (Afifah, 2003). Majlis tahlil juga diambil daripada konsep agama Hindu iaitu dalam memperingati orang yang telah  mati dan disesuaikan mengikut ajaran Islam (Nurul Mubin Siraj, 2015).

Dalam bidang bahasa pula, banyak perkataan daripada bahasa Sanskrit yang dipinjam dan diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Contohnya perkataan bulan, raja, dan guru yang kekal digunakan sehingga hari ini (Sazelin Arif, 2007). Terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan penggunaan bahasa Sanskrit di Tanah Melayu seperti prasasti di Talang Tuwo dan Kedukan Bukit (rujuk lampiran 5). Dalam bidang kesusasteraan juga menggunakan unsur agama Hindu dan Budha seperti di dalam epik Seri Rama dan Mahabrata dan juga Hikayat Merong Mahawangsa. Setiap unsur dan mitos yang digunakan dalam sejarah Melayu membawa maksud penting dalam menggambarkan kebesaran, kemuliaan, martabat serta menunjukkan kuasa raja yang istimewa (M. Rajantheran, 1999).

2.3  Interaksi Positif Tamadun Cina dan India

Interaksi antara kedua-dua tamadun ni telah membawa agama Buddha ke China melalui Jalur Sutra semasa abad pertama pada akhir pemerintahan Dinasti Han (Tan Ta Sen, 2010). Buddhisme mampu menarik minat rakyat di negara China kerana ajaran ini menjawab konsep penderitaan manusia yang berkaitan dengan kekacauan dan perpecahan negara ketika itu setelah kejatuhan Dinasti Han.

Selain itu, dalam bidang sains dan teknologi, India telah membawa teknologi membuat gula daripada tebu ke negeri China. Koleksi buku-buku astronomi dan perubatan India juga berjaya diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Bagi Tamadun India pula, mereka mempelajari teknologi membuat kertas, bahan letupan, percetakan dan penggunaan kompas daripada tamadun China.

Di samping itu, dalam bidang bahasa dan kesusasteraan fonetik bahasa Cina telah menggunakan teknik daripada ilmu fonetik Sanskrit yang dipelajari melalui ajaran Buddhisme. Oleh kerana itu, kesusasteraan Cina banyak dipengaruhi oleh perbendaharaan kata bahasa Sanskrit dan Pali. Malahan, alat muzik China seperti pipa dan konghou juga berasal dari India.